Saturday, 12 December 2015

KAJIAN TENTANG TEH HIJAU

 

Teh bagus untuk anda. Apa yang membuatkan ia tak bagus adalah bila anda mula menambah gula dan susu pekat manis ketika menyediakannya, sekaligus membuatkan kesan buruk lebih tinggi dari kesan baik meminumnya. Anda pasti terkejut jika saya menyebut teh hitam (black tea) lebih kurang sahaja ‘hebatnya’ berbanding teh hijau (green tea), sesuatu yang kontradik dengan apa yang anda dengar selama ini bukan? Sejak berkurun lamanya, teh diminum begitu saja tanpa gula, rasa sebenarnya pekat dan kelat, kaya dengan alkaloid, dan itulah yang membuatkan ia bersifat seperti ‘ubat’.


Teh dikatakan telah sebati dengan masyarakat cina semenjak 5000 tahun yang lalu. Mengikut lagenda, minuman teh telah ditemui oleh Maharaja Shen Nung pada 2737 BCE, sewaktu Era Lima Raja. Dikatakan daun dari sepohon pokok telah jatuh secara tidak sengaja ke dalam air yang sedang mendidih dalam sebuah kendi dan aroma campuran itu telah membuatkan maharaja berhasrat untuk merasainya. Terpegun dengan rasa dan baunya, baginda lalu menjadikannya sebagai minuman kebangsaan (Sumber dari laman Lembaga Pelancongan Hong Kong, 2007). Pokok tersebut yang dikenali sebagai Camellia, kini bukan saja tumbuh merata di China malah di seluruh dunia, terima kasih kepada zaman perluasan kuasa-kuasa Eropah pada abad ke 15 yang mempopularkan minuman ini ke serata dunia.


1 – Terdapat 2 jenis Polyphenol yang terbentuk secara semulajadi dalam tumbuhan dan buah-buahan, pertama flavanoid, dan kedua non-flavonoid. Majoriti Polyphenol yang ada pada tumbuhan/buah di atas muka bumi ini adalah dari jenis flavanoid, oleh sebab itu kedua-dua istilah digunakan dengan kerap untuk merujuk benda yang sama, meskipun bukan semua Polyphenol adalah flavanoid sebenarnya (ada yang non-flavonoid). Walaubagaimanapun apa yang pasti, semua Polyphenol bersifat anti-oksidan dan anti-kanser (anti-carcinogenic).
2 – Teh mengandungi catechins (Polyphenol dari kategori flavanoid), sejenis antioksidan yang mana menurut University of California, LA (2008) mempunyai kesan anti-kanser terutamanya terhadap kanser paru-paru dan kanser-kanser yang berpunca dari obesiti.
3 – Dauh teh yang dipetik segar boleh mengandungi sehingga 30% catechins daripada berat kering keseluruhan daun teh tersebut – ini bermaksud teh hijau dan teh putih mampu mengandungi kandungan catechins setinggi ini, tidak seperti teh hitam yang mana kandungan catechins nya telah berkurangan setelah melalui proses ‘pengoksidaan’.
4 – Tahukah anda bahawa teh oolong, teh hijau, teh putih dan teh hitam kesemuanya berasal dari pokok yang sama? Yang membezakan warna, sifat dan rasa mereka adalah proses yang digunakan, yang mana teh hitam terlibat dengan proses ‘pengoksidaan’ yang lama sebelum dibungkus dan diedarkan; ini membuatkan warna flavonoid yang asalnya kuning/hijau ‘teroksida’ menjadi gelap kemerahan (macam kulit pisang, asalnya hijau/kuning, bila dah teroksida lama kelamaan menjadi gelap). Contoh teh hitam yang ada di pasaran adalah Teh Boh, Lipton, Teh Sabah, Teh Ceylon dan sebagainya.

5 – Walaubagaimanapun, tiada perbezaan besar dari segi JUMLAH antioksidan yang ada dalam teh hijau dan teh hitam sebenarnya. Apa yang membezakan jumlah antioksidan antara teh tersebut adalah lebih bergantung kepada cara penyediannya, pertama, suhu air yang digunakan, lebih tinggi suhu, lebih tinggi antioksidan yang berjaya diekstrak ke dalam minuman, dan kedua, faktor uncang, yang mana penggunaan uncang (seperti teh uncang) sebenarnya mengurangkan lagi jumlah antioksidan yang berjaya diekstrak ke dalam minuman kerana dipercayai kebanyakkannya masih ‘tersangkut’ dalam uncang tersebut  (Sumber Langley-Evans, 2000).
6 – Beberapa kajian juga menunjukkan teh mampu merendahkan jumlah kolesterol dalam darah di samping meningkatkan jumlah kolesterol ‘baik’ (HDL kolesterol) dalam haiwan dan manusia. Kajian-kajian ini merumuskan bahawa sebatian polyphenol yang ada dalam teh adalah bahan yang bertanggungjawab menyekat penyerapan kolesterol ke dalam darah oleh usus kecil manusia dari diet yang diambil (Fujita et al, 2008).
7 – Seperti yang dibincangkan awal tadi, polyphenol juga adalah bahan anti-kanser. Antara 9 jenis kanser yang terbukti oleh kajian klinikal mempunyai hubung kait dengan amalan meminum teh dalam kuantiti yang sederhana adalah kanser ginjal, kanser payudara, kanser ovari, kanser usus (bukti saintifik setakat ini lebih memihak wanita, untuk lelaki masih plausible), kanser esophageal, kanser paru-paru, kanser pankreas, kanser prostat, kanser kulit, dan kanser perut (Sumber University of Maryland Medical Center).
ovarian-cancer-tea-consumption
8 – Kuantiti sederhana yang dimaksudkan di atas adalah sekitar 3 hingga 5 cawan sehari sahaja. Pengambilan secara melampau sehingga 7 cawan sehari akan mengakibatkan pengambilan Oxalate dalam diet menjadi berlebihan. Oxalate secara kimia boleh bercantum dengan kalsium dan beberapa mineral lain dalam badan seterusnya membentuk hablur kristal/pasir dikenali sebagai ‘Kalsium Oxalate’ – komponen utama yang membentuk batu karang terutamanya pada ginjal. Kajian juga menunjukkan pengambilan teh melebihi 7 cawan sehari meningkatkan risiko mendapat kanser prostat sebanyak 50% di kalangan lelaki.
9 – Ekstrak teh hijau yang mengandungi Polyphenol (catechins) dan Caffeine mampu menginduksikan ‘thermogenesis’, menggalakkan pengoksidaan lemak, dan meningkatkan kadar metabolik sebanyak 4% tanpa meningkatkan denyutan nadi (Dulloo et al. 1999American Journal of Clinical Nutrition). Namun fakta ini tidak boleh digunakan “bulat-bulat” ketika menurunkan/mengekalkan berat badan kerana kesannya ke atas penurunan berat badan adalah amat kecil dan kurang signifikan (rujuk Kovacs et al. 2004, PubMed; Hursel et al. 2009, PubMed) – untuk mengawal berat badan secara total, konsep kalori masih lagi diambil kira.
10 – Teh hitam mempunyai lebih banyak L-Theanine berbanding teh hijau, dan teh hitam juga mengandungi Caffeine –  kedua-duanya berupaya mengurangkan tekanan fizikal dan mental, menjana daya fikir dan pembelajaran (cognition) di samping meningkatkan mood seseorang.
11 – Kajian yang dijalankan di Itali menunjukkan teh hitam berupaya menurunkan tekanan darah keseluruhan sampel kajian yang diuji – hasil kajian ini telah dibentangkan dalam “International Scientific Symposium on Tea & Human Health” yang kelima September tahun lalu di U.S. Department of Agriculture, Washington D.C.
12 – Saintis Jepun dalam kajian yang dilaporkan menerusi American Journal of Clinical Nutrition juga mendapati subjek dewasa yang meminum lebih teh mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat angin ahmar (stroke), osteoporosis dan kemerosotan daya fikir.
13 – Kesimpulannya, anda tidak boleh mendriskiminasi teh hitam yang ada di pasaran dan hanya ‘berat sebelah’ terhadap teh hijau semata-mata apabila berbicara akan manfaat teh dari segi kesihatan. Ini kerana beratus-ratus kajian saintifik telah menunjukkan kedua-dua teh hitam dan teh hijau ini adalah sama hebat dan ada kelebihan masing-masing. Seeloknya teh ini diminum kosong begitu sahaja (tanpa meletak susu ke dalamnya), ini kerana kajian Langley-Evans (2000) (rujuk no.5) menunjukkan teh hitam apabila disediakan/dibancuh bersama susu akan mengurangkan lagi keberkesanan antioksida yang ada di dalamnya. Seeloknya minumlah teh hitam dan teh hijau secara klasik (kosong) dan jika perlu, hanya letakkan gula dalam kuantiti yang kecil (tiada gula lebih baik).

No comments:

Post a Comment