Anggota Koperasi Muslimah Sabak Bernam yang dirahmati Allah
S.W.T
Marilah kita memanjatkan
kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, kerana dengan limpah rahmat dan kasih
sayangNya kita mampu menggerakkan anggota tubuh badan, fikiran dan perasaan,
bagi menyempurnakan satu dari tanggungjawab sebagai khalifah , yakni membina
kekuatan ekonomi ummah.
Selawat dan Salam ke atas
jujungan besar Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta sahabat baginda, dan
orang-orang yang bersama mereka dalam
mengamalkan sunnah rasul dan berjihad di jalan Allah S.W.T.
Ucapan terima kasih saya kepada
seluruh anggota Koperasi Muslimah Sabak Bernam yang setia memberi kepercayaan
kepada sebuah koperasi yang baru setahun jagung dan belum nampak kejayaannya.
Tahun-tahun pertama penubuhan
koperasi , adalah saat paling sukar. Tanpa modal, tanpa bangunan, tanpa
sebarang tanda yang meyakinkan, namun Koperasi Muslimah Sabak Bernam terus
melangkah tanpa menghiraukan cabaran yang mendatang. Bersaing dengan harga pasaran yang lebih murah, namun
atas kesedaran dan iltizam untuk membantu produk-produk muslim yang terjamin
halal, Koperasi Muslimah tetap melangkah walaupun goyah.
Hari ini Koperasi Muslimah sudah
boleh berbangga, berbekalkan modal syer tidak sampai 20 ribu ringgit, kita
mampu menjana ekonomi sehingga berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Pertama pada hari ini. Hari ini , adalah
sejarah hari esok! saya menyeru kepada seluruh anggota yang hadir, marilah kita
mencipta sejarah. Seperti mana Thomas Edison mencipta lampu, Alexander Graham
Bell mencipta telefon, adik beradik Wright mencipta kapal terbang, dan banyak
lagi ciptaan-ciptaan yang tercatat dalam sejarah. Kalaulah mereka itu beragama
Islam, pastinya mereka masih menerima pahala berterusan hingga ke hari ini ,
malah hingga kiamat.
Justeru, Koperasi Muslimah adalah sejarah 'Jihad
Ekonomi' yang bakal menjadi sebuah institusi yang menaungi peniaga-peniaga
muslim untuk menerobos ekonomi kapitalis yang telah berakar umbi di negara
Malaysia yang kita cintai ini. Kita sebenarnya tidak punya pilihan, kerana jika
kita membiarkan ekonomi terus dipegang oleh bangsa asing, umat Islam akan terus
mundur ke belakang dan hanya bergembira menjadi pengguna kepada barangan yang
dibuat oleh orang bukan Islam. Marilah kita bersatu dalam menyusun kekuatan
ekonomi. Kita perlu bersama memikul tanggungjawab ini ; untuk 'Memperkasa
Ekonomi Ummah' demi kesinambungan dakwah dan 'survival' risalah.
Akhir kalam, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SKM
Wilayah Sabak Bernam, ALK, JAD dan semua anggota yang telah memberi sokongan
padu kepada saya sepanjang menjadi Pengerusi.
Segala teguran , pandangan dan cadangan akan menjadi asas kekuatan untuk
menghadapi cabaran mendatang. Sekian.
Rudzannah Bt Hassan
Pengerusi
No comments:
Post a Comment