Halal, berkualiti dan tanpa peluntur
Pemiliknya, Ahmad Hassan berkata, tepung gandum keluaran syarikatnya
diimport khas dari Turki dan India, manakala Bidara Flour hanya
melakukan proses menapis sebelum ia dibungkus.
Menurutnya, tepung gandum berprotein tinggi diperoleh dari Turki manakala rendah protein diimport dari India.
"Tanpa penggunaan bahan kimia seperti Benzoyl Peroxide menjadikan
tepung ini pilihan golongan pengusaha kilang, kedai kek dan individu.
"Selaras dengan slogan 'Pilihan Utama Anda', syarikat berusaha memberi
yang terbaik supaya misi tercapai, sekali gus menjadikan Bidara Flour
pembekal tepung gandum ternama Bumiputera di Malaysia," katanya kepada
Sinar Harian.
Ahmad berkata, syarikat sentiasa memastikan tepung gandum yang dihantar
berkualiti dan memenuhi permintaan pelanggan serta dijual pada harga
yang kompetitif.
Menurutnya, tepung gandum Bidara Flour boleh didapati di pasar raya
Mydin. Bagaimanapun, syarikat sedang berunding memasarkan produk itu di
pasar raya besar Tesco dan Giant.
"Selain itu, syarikat sedang menjalinkan usaha sama dengan jabatan
kerajaan, pusat zakat dan organisasi lain yang berminat dengan produk
jenama Bidara Flour," katanya.
Rancang buka kilang proses gandum
Ahmad berkata, sejajar dengan saranan kerajaan supaya Bumiputera lebih
agresif terlibat dalam bidang ekonomi, Bidara Flour sentiasa bersaing
untuk lebih maju ke hadapan.
Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu, syarikat merancang membina kilang
pemprosesan gandum sendiri pada masa akan datang supaya pelanggan boleh
mendapatkan produk tepung gandum buatan Bumiputera dengan lebih mudah.
“Kami juga berhasrat menghasilkan produk sejuk beku berasaskan tepung
gandum seperti roti canai, capati dan sebagainya dengan jenama sendiri.
"Syarikat juga menggalakkan pengeluar Bumiputera lain mengambil peluang
menceburkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk industri
tepung gandum," katanya.
Beliau berkata, perniagaan yang dijalankan bukan untuk mengaut
keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada menjalankan tanggungjawab
sosial korporat kepada pengguna khususnya Bumiputera.